Rakan pemandu telah menyuarakan pandangan bahawa kami perlu memberikan perkhidmatan yang lebih baik. Kami telah mengambil maklum dan teruja untuk mengumumkan “Driver Forward”, iaitu inisiatif berterusan selama 3 bulan sebagai sebahagian daripada komitmen kami untuk menambah baik pengalaman pemanduan bagi rakan pemandu. Driver Forward akan memperkenalkan beberapa perubahan dan penambahbaikan sepanjang beberapa bulan yang akan datang berteraskan tiga tunggak, iaitu Sokongan, Fleksibiliti dan Pendapatan, berdasarkan maklum balas mereka kepada kami melalui sesi rundingan meja bulat dan sesi interaksi secara berkala.

Pada bulan ini, kami sedang meneliti cara untuk menambah baik sokongan kami kepada rakan pemandu. Bagi tujuan ini, kami akan memperkenalkan:

  • Sokongan Bahasa Melayu – Ciri ini akan ditambahkan kepada saluran sokongan telefon kami untuk rakan pemandu. Kini, apabila mereka menghubungi talian utama, mereka boleh memilih untuk bercakap dengan ejen yang bertutur dalam bahasa Inggeris atau yang bertutur dalam bahasa Melayu.
  • Yuran Pembersihan – Rakan pemandu akan diberi pampasan sebanyak RM20 jika mereka memilih untuk membersihkan sendiri kenderaan mereka dan mereka tidak perlu mengemukakan resit. Kami juga sedang menambah baik dasar yuran pembersihan supaya amaun pampasan dibuat berdasarkan keterukan kotoran atau tahap pembersihan yang diperlukan.
  • Kereta Berwarna – Warna ikon kereta rakan pemandu dalam aplikasi akan menggambarkan warna sebenar kereta mereka, yang dapat dilihat oleh penumpang pada peta dalam aplikasi itu sendiri. Ciri ini akan membantu meningkatkan pengalaman pengambilan penumpang – apabila penumpang dan pemandu berjaya menemui satu sama lain dengan mudah, kami dapat mengurangkan masa tunggu, iaitu situasi menang untuk semua orang!
  • “Berkongsi Perjalanan Saya” Untuk Pemandu – Sama seperti ciri untuk penumpang, rakan pemandu kini boleh berkongsi peta langsung tentang lokasi mereka, status perjalanan dan maklumat yang berkaitan dengan maksimum 5 kenalan prapilih ketika mereka berada dalam talian.
  • Berhubung dengan penumpang tetamu – Apabila penumpang meminta khidmat pengangkutan untuk rakan dan ahli keluarga, pemandu dapat melihat nama individu yang akan diambil oleh mereka dan dapat menghubungi individu tersebut, jika perlu. Penumpang tetamu akan menerima SMS yang mengandungi nama pemandu, jangka masa tiba, jenis kereta, plat nombor kenderaan dan maklumat hubungan.
  • Peringatan penarafan & maklum balas yang lebih jelas – Penumpang akan menerima mesej peringatan dengan kad penarafan dalam aplikasi mereka untuk memberikan penarafan kepada perjalanan mereka yang terdahulu. Apabila penumpang menyelesaikan suatu perjalanan, mereka turut menerima pemberitahuan untuk memberikan penarafan kepada perjalanan yang baru sahaja diselesaikan. Penumpang juga diminta memberikan maklum balas bagi semua perjalanan yang bertaraf 4 bintang atau lebih rendah, supaya pemandu dapat menerima tip cemerlang tentang cara untuk memberikan perkhidmatan sebaik mungkin.

Greenlight Hub Baharu

Selain kemas kinian sokongan kepada pelanggan, penambahbaikan dasar, dan peningkatan produk ini, kami turut berbesar hati mengumumkan Greenlight Hub baharu kami di Petaling Jaya, untuk rakan pemandu!

Pusat sokongan baharu ini merupakan satu pelaburan yang jelas sekali membuktikan komitmen kami untuk menyokong rakan pemandu. Lokasi ini, pada saiz 4,600 kaki persegi (460m²), adalah dua kali ganda saiz lokasi terdahulu dan boleh melayani sebanyak 1,000 rakan pemandu setiap minggu. Greenlight Hub baharu ini mempunyai ruang yang boleh digunakan untuk sesi pengenalan ataupun taklimat untuk rakan pemandu, dan juga untuk acara komuniti. Terdapat juga ruang yang boleh disediakan untuk rakan vendor untuk mengemukakan perkhidmatan mereka.

Greenlight Hub di Axis Business Campus Petaling Jaya beroperasi dari hari Isnin hingga Jumaat antara jam 10:00 pagi hingga 7:00 malam, dan pada hari Sabtu antara jam 10:00 pagi hingga 5:00 petang. Pusat ini ditutup pada hari Ahad dan cuti umum.

Kami baru sahaja bermula  

Walau bagaimanapun, semua ini hanyalah permulaan. Dalam beberapa bulan yang akan datang, kami berhasrat memperkenalkan lebih banyak kemas kinian ciri yang dapat menambah baik pengalaman pemanduan. Kami komited untuk memberikan pengalaman keseluruhan yang dipertingkatkan kepada rakan pemandu, dan kami akan terus mendengar maklum balas mereka untuk memacu perubahan yang berimpak tinggi, berkesan dan bermakna kepada mereka.

Kami juga ingin merakamkan penghargaan kepada berpuluh-puluh ribu pemandu yang memilih untuk menyertai platform Uber: Terima kasih atas peranan penting yang anda mainkan dalam pengalaman Uber secara keseluruhan!

“Rakan pemandu telah menyuarakan pandangan bahawa kami perlu memberikan perkhidmatan yang lebih baik. Kami telah mengambil maklum dan teruja untuk mengumumkan inisiatif Driver Forward, yang merupakan hasil usaha kami untuk mencari jalan terbaik demi meningkatkan pengalaman pemanduan bagi rakan pemandu. Mereka memainkan peranan yang penting dalam pertumbuhan Uber secara berterusan di Malaysia dan kami berharap dapat meraih keyakinan mereka yang berterusan terhadap kami.” – Karina Ali Noor, Pengurus Besar (Peluasan), Uber Malaysia